Ibubapa yang mahu mengajar anak membaca di rumah perlulah tahu serba sedikit mengenai kaedah yang digunakan untuk mengajar membaca. Untuk memilih kaedah tersebut, terlebih dahuli ibubapa perlu mengetahu tahap kemampuan anak. Selain daripada melihat faktor umur untuk mengetahui kemampuan anak, ibu bapa perlu lihat beberapa faktor lain seperti bagaimana persekitaran anak seperti sejarah pendidikan, pemakanan, kelahiran, keturunan dan kesihatan.
Faktor -faktor ini antara elemen yang akan mendorong kepada pemilihan kaedah yang bersesuaian untuk anak. Setiap anak tidak sama kemampuannya sebagai contoh, ada anak yang mudah mengingat dalam masa yang singkat. Namun ada juga yang sukar mengingat malah cepat lupa walau baru beberapa minit mendengar apa yang kita ajar kepada mereka. Kita kenal anak kita jenis bagaimana.
Jadi, pemilihan kaedah haruslah kaedah yang tidak membebankan anak supaya tidak hilang rasa minat dan seterusnya membina keyakinan membaca. Ada pelajar yang pernah belajar dengan saya, ketika awal -awal dia belajar, dia agak takut dan tidak yakin untuk mengeluarkan suara. Jika belajar membaca, untuk anak yang normal, jika tidak mengeluarkan suara itu adalah sesuatu yang tidak normal. Mesti ada punca kenapa anak rasa takut nak bersuara. Boleh jadi rasa anak tersebut takut akan dimarahi jika salah sebut atau lupa apa yang diajar.
Ibubapa harus lihat keadaaan anak bagaimana. Untuk anak yang mungkin ada masalah untuk mengingat, kaedah fonik gabung bunyi adalah kaedah yang sesuai untuk anak tersebut. Ia lebih mudah dan santai serta mengikut fitrah anak tersebut. Anak tidak perlu menghafal beribu pola suku kata atau mengeja nama huruf. Ianya kaedah yang lebih meringankan otak anak. Malah ia kaedah yang mneyeronokkan jika disampaikan dengan teknik yang betul.
Usah samakan keadaan kita dengan anak kita. Anak kita hidup di zaman yang berbeza dengan kita. Banyak faktor yang mendorong anak sukar menghafal banyak perkara pada masa yang singkat berbanding dengan kita dahulu yang mungkin mudah menghafal beribu pola suku kata. Kita ketika belajar di zaman kita, kita tidak banyak gangguan dan godaan yang membantutkan memori dan fokus. Berbeza dengan anak kta sekarang. Didiklah anak mengikut zaman mereka, bukan zaman kita dulu.
Dengan pemilihan kaedah mengajar membaca yang bersesuaian, kita tidak rasa tertekan dan lebih tenang membantu anak belajar membaca. Ibubapa sendiri akan rasa santai dan seronok. Percayalah!

No comments:
Post a Comment