Wednesday, 25 November 2020

Pengurusan Masa Ibubapa Bekerjaya

 Ibubapa berperanan besar membantu anak belajar membaca di rumah. Pengurusan masa perlu dirancang sebaik mungkin supaya tidak culas dan terus bersemangat membantu anak kita belajar membaca. Rancang aktiviti tiap hari dan sesuaikan ikut keadaan. Usah terlalu terikat tetapi harus sentiasa beringat. Kerjasama antara ibu dan bapa memainkan peranan penting dalam proses anak belajar membaca ini.

Ketika inilah ibu bapa harus ada toleransi dan kerjasama dalam mendidik anak - anak. Usah biarkan pasangan keseorangan sahaja membantu anak belajar. Sentuhan ibu dan ayah memiliki cara dan aura tersendiri. Sudah tentunya jika kedua-duanya bergabung, pasti dapat hasil yang luar biasa. Insyaallah.

Jika perlu mengajar anak sendirian tanpa bantuan pasangan, ia tidak menjadi masalah kerana anak cenderung mengikut siapa yang lebih suka mencipta pengalaman dengan mereka. Sebab itu, jika kita lihat anak tidak boleh ingat semua mainan yang mereka ada walau beratus mainan murah dan mahal yang kita beri pada mereka. Namun, mereka boleh ingat kenangan dan memori yang kita cipta bersama mereka. 

Disiplin susun waktu untuk ajar anak membaca di rumah walau pun sekejap. Disiplin kunci kejayaan apa sahaja perkara yang kita buat. Buat jadual aktiviti bersama anak dan tampal jadual tersebut. Lagi kerap kita lihat perkara itu, lagi ia melekat dalam kepala kita. Paksa diri jika ras malas atau terleka, ceat kembali keda matlamat asal untuk lihat anak mahir membaca dan menjadi generasi celik ilmu pengetahuan.

Ibubapa bekerja perlu maksimakan penggunaan waktu sebaik mungkin untuk mengelak daripada berlaku pembaziran masa dengan perkara yang kurang penting. Selepas pulang kerja, luangkan masa untuk bertanya perihal anak dan beli jiwa anak. Supaya anak rasa keberadaan kita sebagai peneman mereka dan lebih mudah untuk kita tarik mereka belajar membaca nanti.

Setiap hari luangkan masa untuk menyemak bacaan anak di rumah paling sekejap 15 minit. Biar sekejap tetapi kerap dan beterusan. Ia lebih baik daripada lama tetapi tidak kerap dan akhirnya anak akan cepat lupa apa yang diajar. Bukan alasan masa terhad untuk tidak ajar anak sendiri membaca di rumah. Kadangkala, mereka yang sibuk ini, lebih tersusun masanya. Mesti boleh ajar anak sendiri!












No comments:

Post a Comment

Bermain Bersama- sama Dengan Anak